NOSTALGIA STESEN BAS KUALA PILAH

NOSTALGIA STESEN BAS KUALA PILAH

Bagi mereka yang lahir dan membesar di Kuala Pilah mungkin masih teringat lagi stesen bas yang pernah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan yang pernah dilalui pada satu ketika dahulu. Sememangnya amat indah apabila kita mengenangkan kembali nostalgia silam Stesen Bas Kuala Pilah sama ada suka mahupun duka begitu juga manis ataupun pahit.

Hanya dengan bertiangkan kayu dan beratapkan zink stesen bas ini sebenarnya banyak menyimpan kisah kehidupan penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas di Kuala Pilah pada waktu itu. Stesen bas Kuala Pilah sering mengingatkan kita kepada beberapa buah syarikat perkhidmatan bas yang beroperasi pada ketika itu untuk membawa penumpang ke beberapa destinasi.

Antaranya ialah Unitedbas yang laluannya ialah Seremban dan Bahau, Eng Giap yang laluannya ialah Tampin, Syarikat Kenderaan Melayu (SKM) yang laluannya ialah Talang, Seri Menanti dan Gunung pasir serta syarikat bas yang bernama Lim yang laluannya adalah Jelebu.

Pada waktu itu Mercedes Benz dan Bredford adalah antara jenama bas yang memenuhi stesen ini. Ada juga yang menggelar bas ini “roti paun” disebabkan bentuknya yang seakan-akan roti paun. Selain daripada tempat untuk mengambil dan menurunkan penumpang terdapat juga gerai yang menjual makanan, buah-buahan, kacang, jagung dan lain-lain sebagai antara kemudahan yang disediakan kepada penumpang pada ketika itu.

Kemeriahan Stesen Bas Kuala Pilah terasa pada setiap kali tibanya musim perayaan apabila penumpang berpusu-pusu untuk menaiki bas menuju ke destinasi masing-masing. Bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan maka bas yang beroperasi di stesen ini menjadi pilihan dan digunakan sebagai pengangkutan yang bertambang untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja pada setiap hari.

Di sini juga dikatakan menjadi tempat pertemuan antara teruna dan dara. Malahan ada yang sampai berakhir ke jinjang pelamin. Banyak juga bas-bas yg terjatuh ke dalam gaung berhampiran dengan stesen bas ini. Siapa tak ingat gerai Cina yang menjual buah epal yang disusun dengan cantik.

Setiap pagi pemilik gerai ini akan menggunakan penyapu daripada batang buluh untuk membersihkan gerainya. Peti lagu menjadi kegemaran pemuda yang berpakaian fesyen badbottom pada waktu itu. Cendol Pilah juga bermula di stesen ini. Demikianlah antara memori indah yang tersimpan di Stesen Bas Kuala Pilah pada suatu masa dahulu.

Perkhidmatan bas di Kuala Pilah pada waktu itu bermula pada awal pagi dan berakhir pada lewat petang. Tidak seperti sekarang perkhidmatan bas sehingga ke malam untuk membawa penumpang ke destinasi. Namun begitu apabila zaman semakin berubah dan semakin ramai yang berkemampuan untuk membeli kenderaan maka Stesen Bas Kuala Pilah hanya tinggal menjadi kenangan walaupun telah digantikan dengan bangunan yang baru.

Syarikat perkhimatan bas Unitedbas, Eng Giap, Syarikat Kenderaan Melayu (SKM) dan Lim yang pernah meniti kemasyuharan dan kegemilangan bersama-sama dengan Stesen Bas Kuala Pilah juga tinggal menjadi lipatan sejarah dan nostalgia silam kepada mereka yang pernah hidup dan membesar dengannya.

Bagi pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Stesen Bas Kuala Pilah tetap mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai tempat bermulanya perkhidmatan bas di daerah ini. Mungkin ada di kalangan pembaca yang mempunyai maklumat dan sejarah berkaitan dengan stesen bas ini.

Pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan amat mengalu-alukan untuk dijadikan perkongsian ilmu pengetahuan agar masyarakat khususnya generasi muda di Daerah Kuala Pilah mengetahui akan keunikan dan sejarah Stesen Bas Kuala Pilah yang seharusnya dipulihara dan tidak dilupakan dengan begitu sahaja.

Unit Media
Lembaga Muzium Negeri Sembilan

#DanaMemperkasakanAdatPerpatih

Disusun Oleh

Drs. Shamsuddin bin Ahmad
Pengarah
Lembaga Muzium Negeri Sembilan

Asrul Effendi bin Kamaruzzaman
Penolong Kurator
Lembaga Muzium Negeri Sembilan

1. Gambar lama Stesen Bas Kuala Pilah sumber daripada Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

2. Gambar Stesen Bas Kuala Pilah sumber daripada https://mapio.net/pic/p-40697884/.

3. Gambar Stesen Bas Kuala Pilah sumber daripada https://vymaps.com/MY/Stesen-Bas-Kuala-Pilah-233733/.







Comments

Popular Posts